TM percepat pemasangan fiber optik di Sabah, sasar liputan 58 peratus menjelang 2025

TM percepat pemasangan fiber optik di Sabah, sasar liputan 58 peratus menjelang 2025

Kota Kinabalu: Telekom Malaysia Bhd (TM) akan mempercepatkan kadar pemasangan fiber optik di Sabah dengan sekurang-kurangnya 145,000 premis disambungkan dalam tempoh tiga tahun dari 2022-2025.

Kenyataan itu berkata, TM menyasarkan untuk mencapai 58 peratus liputan fiber optik di negeri ini.

Sasaran itu telah dikongsikan oleh barisan kepimpinan TM pada kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha TM untuk mengukuhkan hubungan bersama pelbagai pihak berkepentingan di negeri ini,” kata kenyataan itu.

Delegasi kunjungan hormat yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar itu meluangkan masa selama sehari untuk bertemu dengan pemimpin kerajaan negeri, komuniti perniagaan dan warga TM.

Dalam kunjungan itu juga, barisan delegasi turut berkongsi maklumat terkini mengenai aktiviti TM di negeri ini serta usahanya untuk membawa akses kesalinghubungan dan penyelesaian digital kepada rakyat, komuniti perniagaan, industri dan sektor awam.

TM telah melabur lebih daripada RM1.1 bilion untuk CAPEX di Sabah sejak 2012 bagi meningkatkan kesalinghubungan dan gentian optik di negeri ini.

Dengan sejumlah 32,000 kilometer kabel gentian optik di seluruh negeri, di samping 59 tapak sambungan gentian optik yang telah disediakan di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai Point Of Presence (POP), TM telah menghubungkan hampir 282,000 premis di Sabah.

Secara keseluruhan, TM telah menggunakan lebih 600,000 kilometer kabel gentian optik di seluruh negara dan usaha itu akan terus diperhebatkan, selaras dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|