Pejuang Sabah dakwa kenaikan gaji Menteri, ADUN hanya untungkan kewangan peribadi

Pejuang Sabah dakwa kenaikan gaji Menteri, ADUN hanya untungkan kewangan peribadi

Kota Kinabalu: Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Sabah Winston @ Hassnal Majuning mendakwa kenaikan gaji barisan Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah hanya menguntungkan kewangan peribadi mereka saja.

Beliau berkata, usul meluluskan kenaikan gaji itu merupakan pembaziran wang rakyat kerana ia belum tentu digunakan untuk membantu rakyat tetapi mungkin untuk kepentingan diri dan keluarga mereka sahaja.

“Dalam keadaan rakyat Sabah baharu sahaja melalui bebanan masalah Covid- 19 ini, kerajaan negeri sepatutnya lebih mengutamakan rangsangan pemulihan ekonomi rakyat ditambah lagi bebanan kenaikan harga kos sara hidup.

“Jumlah wang sebesar itu sewajarnya digunakan bagi mendukung pemulihan ekonomi rakyat di Sabah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya lagi, kenaikan gaji pada ketika ini tidak mendukung kepada peralihan positif untuk kepentingan rakyat Sabah malah hanya menimbulkan bebanan kewangan kerajaan Sabah.

“Ini kerana proses kenaikan gaji akan membawa kepada ketetapan gaji baharu yang menyebabkan beban kewangan kerajaan negeri dan tidak berbaloi kepada rakyat apatah lagi jika hanya pemimpin yang memperoleh kenaikan ini tetapi tidak memiliki prestasi kerja yang kurang memuaskan untuk rakyat.

“Pejuang Sabah komited memastikan setiap wang kerajaan negeri digunakan untuk kepentingan rakyat dan mampu mendukung perubahan ekonomi rakyat dan negeri secara jelas,” katanya.

Pada Rabu lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan kenaikan emolumen atau gaji anggota pentadbiran dan ADUN di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|