Naik taraf sistem saliran dan perparitan elak banjir berulang

Naik taraf sistem saliran dan perparitan elak banjir berulang

Kota Kinabalu: Pihak berkuasa dan kerajaan perlu menaik taraf sistem saliran dan perparitan di negeri ini, terutamanya di lokasi yang sering dilanda banjir setiap kali hujan lebat.

Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook berkata, perkara itu perlu diambil perhatian serius berikutan ia bukan saja menyusahkan rakyat tetapi juga membebankan disebabkan kerosakan harta benda.

Katanya, kebanyakan kawasan ini mengalami banyak perubahan pembangunan yang dilakukan oleh pemaju tetapi sebaliknya sistem perparitan sedia ada tidak pernah dinaik taraf.

“Sebagai contoh di Kolombong, sesetengah kawasan berada di bawah paras laut selain kebanyakan sistem perparitan gagal berfungsi dengan baik disebabkan kurangnya penyelenggaraan.

“Maka setiap kali hujan lebat dan ditambah pula dengan kenaikan paras air laut, sistem saliran dan perparitan sedia ada tidak lagi mampu mengalirkan air ke parit besar yang disambungkan dengan Sungai Likas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Thien Fook berkata, ekoran daripada situasi itu, air hujan yang ‘bertembung’ dengan air laut akan mengakibatkan banjir kilat di kebanyakan kawasan rendah.

Sehubungan itu, Thien Fook berkata, selain penambahbaikkan serta penyelenggaraan yang lebih kerap, jabatan kerajaan berkaitan dicadangkan supaya membina Pintu Kawalan Air Pasang Surut (Tidal Wave Gate).

Katanya, ia mampu menghalang air laut pasang daripada mengalir masuk semula ke parit besar dan sekaligus dapat mengurang potensi banjir kilat.

“Inilah penyelesaian yang dilakukan sebelum ini di kawasan Dah Yeh Villa apabila Pintu Kawalan Air Pasang Surut di bina Tanjung Lipat.

“Dulu kawasan yang menempatkan banyak perumahan dan Sekolah Menengah Tshung Tsin ini sering dilanda banjir kilat, namun kini masalah itu tidak lagi pernah berulang,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|