Kota Belud: Seorang pemandu parah manakala tujuh lagi terselamat dalam kejadian kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Kesapang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, seorang lelaki berusia 32 tahun yang memandu Proton Saga mengalami kecederaan parah selepas tersepit di dalam kenderaannya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.28 malam.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan jenis Proton Saga, Ford Ranger dan Isuzu D-Max.
“Terdapat lapan mangsa terlibat dan seorang mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan pasukan operasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Manakala tiga mangsa di dalam kenderaan Ford Ranger dan empat lagi pada kenderaan Isuzu D-Max dilaporkan selamat.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.18 malam.
-Deasoka