Sabah berdepan krisis bekalan air – Bung Moktar

Sabah berdepan krisis bekalan air – Bung Moktar

Kinabatangan: Gangguan bekalan air yang kerap berlaku hampir di seluruh negeri ketika ini bukan lagi masalah biasa, sebaliknya sudah mencapai tahap krisis.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia berdasarkan situasi semasa gangguan bekalan air yang berlaku hampir di semua daerah.

Katanya, masalah sama juga berlaku di bandar utama seperti Kota Kinabalu dan Sandakan, menggambarkan situasi bekalan air di negeri ini yang kian meruncing.

“Sebetulnya air di Sabah ini bukan lagi isu, ianya sudah menjadi krisis yang besar di semua daerah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu, selain daerah di pedalaman.

“Air ini sudah menajdi satu krisis yang besar dan saya akan mengemukakan satu cadangan kepada kerajaan negeri untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia di Sabah akan dapat menikmati bekalan air bersih.

“Saya sudah menerima berbagai-bagai aduan dan saya sendiri merasa daripada dulu sampai sekarang, rumah sayapun tiada air, jadi bayangkan, di Sandakan pun tiada air, di Kota Kinabalu tiada air, di kampung-kampung tiada air, jadi pada saya ini bukan lagi masalah tapi satu krisis dan perlu ditangani,” katanya pada sidang media sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sudah merangka pelan jangka panjang dan jangka masa pendek yang sesuai bagi menangani krisis bekalan air yang berlaku ketika ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, pelan berkenaan akan dikemukakan kepada Kabinet Sabah dalam masa terdekat.

“Saya akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Kabinet negeri Sabah untuk diputuskan sebab ini penting untuk kita menentukan hala tuju air di negeri ini.

“Pertama cadangan penyelesaian jangka pendek, kedua perancangan jangka panjang sebab jangka pendek saja tidak menjamin kita akan mendapat bekalan ari bersih yang baharu walaupun ianya masalah yang perlu diatasi.

“Namun pada saya perlu kita atasi secara menyeluruh, sebab kalau orang kata jangka pendek tapi tidak selesaikan masalah juga, tiada guna juga,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|