OUM mahu jalin kerjasama dengan kerajaan Sabah

Kota Kinabalu: Open University Malaysia (OUM) mahu menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang mempunyai lebih ramai rakyat berpendidikan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Multimedia Technology Enhancement Operations (Meteor) Sdn Bhd, Muhammad Afiq Redzuan berkata, sokongan daripada kerajaan negeri amat penting dalam usaha OUM memperkasakan bidang pendidikan di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman.

“Saya mengharapkan kerajaan Sabah memberi peluang kepada OUM untuk menjadi rakan strategik sebab kita tahu ramai penduduk di negeri ini kurang peluang untuk menyambung pengajian di bandar atau ke Semenanjung.

“Dalam hal ini kita (OUM) sendiri datang kepada mereka tanpa keluar dari kawasan dan boleh belajar dari rumah atau datang ke pusat pengajian kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Kumpulan Meteor bagi pusat pengajian OUM Zon Sabah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Afiq berkata, menjadi harapan pihaknya untuk menjadikan Sabah sebuah negeri di mana rakyatnya lebih ramai berpendidikan tinggi berbanding di Semenanjung.

“Jadi menerusi sokongan kerajaan negeri sama ada dari segi kewangan, infrastruktur serta kesediaan akan dapat menarik lebih ramai rakyat Sabah untuk menyambung belajar.

“Mungkin antara contoh yang boleh dilakukan ialah tajaan kepada rakyat Sabah yang ingin sambung belajar dan ini salah satu kelebihan di mana kita secara terus memberikan kembali kepada komuniti menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad Afiq berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam masa terdekat bagi membincangkan hasrat itu.

“InsyaAllah dalam tempoh terdekat ini kami akan buat kunjungan hormat terhadap beliau dan saya berharap ia menjadi satu kerjasama strategik yang bukan setakat atas kertas tetapi secara tepat dan holistik,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor OUM, Prof Madya Dr Ahmad Izanee Awang berkata, peluang yang ditawarkan OUM harus direbut rakyat Sabah termasuk mereka yang sudah bekerja untuk menyambung pengajian menerusi kaedah Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Apel).

“OUM bersedia dengan program yang ada untuk bersama-sama mengembangkan potensi atau membina insan bagi penduduk Sabah dan peluang ini terbuka untuk mereka yang bekerja tetapi dalam masa sama sambung belajar untuk menyiapkan diri demi masa depan,” katanya.

Meteor Sdn Bhd adalah syarikat pegangan bagi OUM dengan enam cawangan kampusnya beroperasi di Sabah ketika ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|