MUTIARA GRS sedia 288 bungkusan kuih raya untuk pasukan keselamatan dan petugas kesihatan

MUTIARA GRS sedia 288 bungkusan kuih raya untuk pasukan keselamatan dan petugas kesihatan

Kota Kinabalu: Isteri Ketua Menteri yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Juliah Salag, hari ini bersama ahli MUTIARA GRS membungkus kuih muih Aidilfitri untuk diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di negeri ini.

Sebanyak 288 bungkusan kuih muih itu, adalah sumbangan daripada MUTIARA GRS.

Juliah Salag (tengah) bersama ahli MUTIARA GRS membungkus kuih muih Aidilfitri untuk diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Rumah MUTIARA, Rose Garden, Jalan Penampang.

Naib Yang Dipertua III MUTIARA GRS yang juga Pengerusi Biro Kebajikan, Datin Linda Ewit, berkata kuih muih itu akan diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan terutama mereka yang akan bertugas pada 1 Syawal nanti.

“Sumbangan ini sebagai tanda ingatan tulus ikhlas dan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan serta petugas kesihatan.

Juliah Salag (dua kanan) bersama ahli MUTIARA GRS membungkus kuih muih Aidilfitri untuk diagihkan kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan di Rumah MUTIARA, Rose Garden, Jalan Penampang.

“Kami berharap sumbangan ini akan dapat menggembirakan semua anggota pasukan keselamatan dan barisan hadapan sekali gus dapat merasai suasana raya walaupun bertugas pada musim perayaan,” katanya pada sesi Pembungkusan Sumbangan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan di Rumah MUTIARA GRS, di sini, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijadualkan akan menyerahkan sumbangan kuih muih Aidilfitri daripada pelbagai pihak antaranya jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO), kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan pada 13 April ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|