Tawau: Anggota polis ditemui rentung dalam kebakaran bilik di Jalan Utara, Taman King Fook di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa koperal S Yogeswaran, 35, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, ditemui pasukan bomba dalam keadaan rentung.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin menerusi kiriman WhatsApp, mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.
Katanya, siasatan awal sama ada di tempat kejadian mahupun dikalangan saksi-saksi untuk mengenal pasti petunjuk sedang giat dijalankan.
“Polis masih menjalankan siasatan dan perkembangan lanjut, kita akan keluarkan dalam sehari dua lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.17 pagi.
“Kejadian melibatkan sebuah bilik yang terbakar 100 peratus dan berjaya dipadam sebelum jentera tiba. Pasukan bomba bertindak membuka pintu utama dan membuat pengudaraan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang mangsa lelaki ditemui dalam bilik berkenaan dalam keadaan rentung,” katanya ketika dihubungi.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
-Deasoka