Kota Kinabalu: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS), hari ini mengagihkan 1,500 bungkus bubur lambuk kepada petugas awam dan swasta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Program pengagihan bubur lambuk itu yang dibuat di kawasan letak kereta VIP Lounge KKIA diketuai Presiden Mutiara GRS yang juga isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.
Sumbangan makanan itu turut diagihkan kepada anggota polis dan bomba di balai polis dan balai bomba sekitar bandar raya.
Juliah berkata, ia adalah program untuk komuniti yang julung kali dianjurkan Mutiara GRS dengan kerjasama syarikat swasta iaitu Nestle Sdn Bhd dan Sazarice Sdn Bhd.
“Kita mengalu-alukan sektor swasta bekerja bersama dengan Mutiara GRS untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini Mutiara GRS menggariskan banyak program untuk dilaksanakan berikutan situasi negara yang kini beralih ke fasa peralihan ke endemik Covid-19.
Sebelum ini, katanya Mutiara GRS melawat dan menghulur bantuan kepada mangsa kebakaran di Kudat, kemudian diteruskan dengan menyantuni komuniti setempat bermula di lokasi yang strategik iaitu KKIA.
“Pelbagai agensi ada di KKIA dan Mutiara GRS mahu memberikan penghargaan kita kepada mereka selain mereka yang bertugas menjaga keselamatan awam,” katanya.
-Deasoka