Minuman keras RM2.04 juta dirampas

Kota Kinabalu: Kegiatan sindiket pengedaran dan penjualan minuman keras tidak bercukai terbongkar dalam serbuan menerusi Op Kontraban di sebuah gudang di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, semalam.

Operasi jam 4 pagi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Perisikan Dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK) Bukit Aman bersama Tiger Platon Briged Sabah, merampas 4,690 kotak minuman keras dianggarkan bernilai RM2.04 juta.

Lori muatan minuman keras yang dirampas.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, dalam operasi itu menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 29, 38 dan 50 tahun.

Katanya, hasil penggeledahan di dalam gudang itu menemukan enam kenderaan termasuk dua lori kontena dengan muatan minuman keras tidak bercukai.

Minuman keras tanpa cukai yang dirampas dalam operasi Op Kontraban di sebuah gudang di Jalan Kionsom, Inanam.

“Pemeriksaan lanjut merampas 4,690 kotak minuman keras dengan kapasiti 37,144.8 liter yang dianggarkan bernilai RM2,047,607.10 termasuk cukai.

“Turut dirampas enam kenderaan dianggarkan bernilai RM365,000. Selain itu wang tunai RM12,770 dan enam telefon bimbit turut dirampas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani, jumlah keseluruhan rampas ini dianggarkan bernilai RM2,428,377.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran dan penjualan minuman keras tidak bercukai di sekitar daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|