Kota Kinabalu: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) belum berhasrat untuk mengintai mana-mana kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebaliknya parti itu hanya mahu fokus untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat di negeri ini.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu Muda di Sabah lebih fokus kepada mengadakan dialog dengan wakil komuniti untuk memahami masalah yang dihadapi.
“Perbincangan kerusi, politik kuasa ini saya rasa ramai orang sudah muak mendengarnya. Lebih baik bincang kerjasama antara rakan-rakan kerana perkara paling penting orang nak dengar adalah penyelesaian masalah.
“Kalau orang kata kos sara hidup di Semenanjung susah, di Sabah lagi teruk sebab polisi kabotaj. Isu jurang pendidikan jauh lebih teruk di Sabah begitu juga isu kemiskinan jauh lebih teruk,” katanya kepada media selepas mesyuarat ‘townhall’ Muda sempena Jelajah Presiden, di Karamunsing, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada parti itu sedang mengintai kerusi di Sabah untuk PRU akan datang.
Mengulas lanjut, beliau juga mahu Muda Sabah sentiasa memantau tanggungjawab yang dilaksanakan kerajaan negeri berhubung masalah yang dihadapi.
“Sebelum ini sebanyak RM150 juta ditambah lagi RM145 juta menerusi program pemberian tablet dan laptop oleh kerajaan Sabah sudah umumkan.
“Saya nak Muda Sabah tuntut mana laptop dan tablet yang dijanjikan kerajaan negeri, bagaimana perbelanjaannya dan jenis laptop apa yang diberikan serta siapa penerimanya,” katanya.
Sementara itu, katanya, Muda akan mendekati kesemua 25 Parlimen di negeri ini sebelum pelancaran Muda peringkat Sabah.
-Deasoka