Dua bersaudara ditahan SPRM kerana pecah amanah, salah guna kuasa

Dua bersaudara ditahan SPRM kerana pecah amanah, salah guna kuasa

Sandakan: Dua bersaudara ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan nilai kontrak kira-kira RM63,000 pada 2018 dan 2019.

Dua lelaki masing-masing berusia 37 dan 41 tahun itu ditahan pada jam 11.45 pagi tadi selepas hadir di Pejabat SPRM Sandakan bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, dua lelaki terbabit dipercayai terlibat dengan urusan projek berkaitan haiwan ternakan di sebuah agensi kerajaan persekutuan di Sandakan.

Menurut sumber itu lagi, lelaki berusia 37 tahun itu sebagai penjawat awam dipercayai menggunakan kedudukannya untuk melantik kontraktor pembekal produk berasaskan lebah, haiwan ternakan dan program-program lain di mana syarikat kontraktor yang dilantik itu dimiliki oleh saudaranya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua lelaki tersebut telah dibebaskan atas jaminan SPRM dan dijadualkan untuk dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada Khamis ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|