10 pemilik syarikat mengaku salah guna penyata akaun palsu dapatkan tender bekal makanan asrama

10 pemilik syarikat mengaku salah guna penyata akaun palsu dapatkan tender bekal makanan asrama

Kota Kinabalu: Seramai 10 daripada 11 pemilik syarikat yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini mengaku salah atas 29 pertuduhan mengemukakan penyata akaun bank palsu kepada Jabatan Pendidikan Sabah bagi menyertai tender membekal makanan asrama pada 2014 hingga 2018 dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah lebih RM49 juta.

Mereka ialah Melinah binti Minus, 29, Pemilik Aspirasi Sejagat Enterprise; Yulles @ Osman bin Yakin, 40, Pemilik Alhamdulillah Enterprise; Yunani binti Haikal, 38, Pemilik Hadirah Enterprise; Saliuddin bin Ariffin, 38, Pemilik Salam Rizqi Enterprise dan Juanis bin Yakin, 38, Pemilik Tupai-tupai Enterprise.

Lima lagi ialah Roslan bin Rasul, 37, Pemilik Pemborong Impian; Marudin bin Andawa, 32, Pemilik Tetap Unggul Enterprise; Kathlenawati binti Siambing, 49, Pemilik Puncak Ilham Enterprise; Noryana Luciana Abdullah, 44, Pemilik Fokus Genarasi Enterprise dan Eunus bin Likuran, 52, Pemilik Pemborong Ar Rahman.

Kesemua mereka berdepan 29 pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Hakim Abu Bakar Manat yang mendengar kes berkenaan memerintahkan semua tertuduh membayar denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah denda keseluruhan terhadap semua tertuduh sebanyak RM145,000.

Semua 10 tertuduh terbabit membayar denda berkenaan.

Sementara itu, seorang tertuduh yang didakwa atas 50 pertuduhan mengikut seksyen yang sama mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Tertuduh, Rita binti Pengeran, 31, pemilik Pemborong Sinar Suria kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM15,000 dan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Keningau setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes berjalan.

Secara keseluruhan, SPRM Sabah membuat 79 pertuduhan terhadap 11 pemilik syarikat terbabit kerana kesemua mereka disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi tiga bulan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 2014 hingga 2018.

Ia bertujuan untuk memasuki Tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak Asrama bagi sekolah rendah dan menengah di sekitar Sabah dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM49,045,248.40.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapiee.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|