Kesan positif fasa peralihan ke endemik mula dirasai – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Sabah sudah mula merasai kesan positif fasa peralihan ke endemik Covid-19 dan pembukaan semula sempadan negara sejak 1 April lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia dapat dilihat menerusi peningkatan aktiviti perniagaan dan pelancongan di seluruh negeri.

Bung Moktar Radin meninjau sambil membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Asia City.

Katanya, perkembangan itu memberi impak yang baik kepada ekonomi negara memandangkan semua sektor dibenarkan beroperasi semula setelah kira-kira dua tahun berada dalam fasa pandemik.

“Kita lihat sejak 1 April lalu, rakyat semakin ramai berkunjung ke pasar raya atau pusat beli belah, manakala bazar Ramadan sudah dibenarkan beroperasi dan ramai pengunjung datang, menunjukkan kuasa beli rakyat semakin meningkat.

“Rakyat mula keluar untuk urusan menjalankan pernigaaan dan membeli belah begitu juga apabila sempadan negara mula dibuka ekonomi antarabangsa sedikit sebanyak mula meningkat,” katanya selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Asia City, di sini, semalam.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata peralihan ke fasa endemik menjadi permulaan baharu untuk rakyat Malaysia membebaskan diri setelah dua tahun berperang dengan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, peralihan fasa berkenaan adalah strategi yang membolehkan rakyat menjalani kehidupan hampir normal seperti sebelum pandemik dan peluang untuk memulihkan ekonomi masing-masing.

Bagaimanapun, Bung Moktar turut mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak leka dengan kebebasan yang dinikmati semula.

Beliau sebaliknya menekankan agar semua orang kekal patuh terhadap norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum negara benar-benar bebas daripada ancaman Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berpendapat sektor pelancongan memerlukan masa untuk kembali aktif seperti biasa berikutan masih ada halangan yang sukar dielak, khususnya pergerakan keluar masuk yang terhad dari luar negara.

Namun, katanya peningkatan pelancong domestik berikutan keinginan rakyat untuk melancong dalam negara turut membantu merancakkan ekonomi setempat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|