Murid terpaksa naik perahu ke sekolah selepas jambatan gantung rosak akibat banjir

Murid terpaksa naik perahu ke sekolah selepas jambatan gantung rosak akibat banjir

Pitas: Seramai 58 murid dari lima kampung, di sini terpaksa berulang-alik menggunakan perahu kecil menyeberangi Sungai Bengkoka untuk ke sekolah selepas jambatan gantung yang menjadi kemudahan utama mereka rosak akibat banjir baru-baru ini.

Difahamkan, semua murid itu tinggal di Kampung Bilangau Besar, Kampung Sapatalang, Kampung Salungkapit, Kampung Mandurian Laut dan Kampung Kobon.

Murid dari lima kampung terpaksa menggunakan perahu untuk berulang alik ke sekolah selepas jambatan gantung rosak akibat banjir baru-baru ini di Pitas.

Ketua Kampung Bilangau, Edward Upak berkata, jambatan gantung terbabit rosak teruk berikutan banjir besar di daerah ini baru-baru ini menyebabkan ia tidak dapat digunakan.

“Ia sekali gus menyebabkan penduduk kampung yang menggunakan jambatan ini sebagai jalan penghubung utama terpaksa membayar tambang perahu untuk menyeberangi sungai termasuklah murid sekolah.

“Seramai 58 murid dari lima kampung terpaksa berulang alik naik perahu dan membayar tambang untuk menyeberangi Sungai Bengkoka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Dandun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, jambatan gantung itu juga penting kepada penduduk di kampung berkenaan terutama untuk ke klinik yang terletak di Kampung Dandun.

“Sekurang-kurangnya penduduk di 30 kampung di kawasan ini menggunakan perkhidmatan klinik di Kampung Dandun.

“Jadi saya harap perkara ini dapat diambil perhatian dengan membaik pulih segera jambatan gantung yang menjadi penghubung utama penduduk di kawasan ini,” katanya.

Katanya, pembaikan jambatan gantung itu penting demi keselamatan penduduk kampung yang terlibat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|