Mosar bantu bawa turun pendaki wanita terseliuh

Ranau: Seorang wanita terpaksa dibantu Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan terseliuh kaki ketika berada di kawasan Sayat-Sayat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, wanita berusia 41 tahun terbabit dilaporkan sukar bergerak dan terpaksa dibawa turun untuk mendapatkan rawatan.

Sebaik tiba di Timpohan Gate, mangsa kemudiannya dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai termasuk Mosar dan malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan Mosar terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa turun ke Panalaban secara ‘piggy back carry’ sebelum dibawa turun sehingga ke Timpohon Gate menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.50 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|