Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot kargo kerana membawa muatan barangan kawalan termasuk 27 unit tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa permit di perairan daerah ini, kelmarin.
Kedua-dua bot kargo yang dikendalikan tekong tempatan itu ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.9 batu nautika timur laut, Kuala Sungai Melayu, pada jam 5.15 petang.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketika rondaan Ops Sejahtera aset Maritim Malaysia mengesan dua bot kargo bergerak secara bersama dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
Katanya, curiga dengan pergerakan itu, pemeriksaan dilakukan ke atas salah sebuah bot kargo yang dikendalikan tekong lelaki warga tempatan berusia 55 itu mendapati membawa muatan kotak polistren tidak berisi.
“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot berkenaan menemukan lima tong gas LPG yang disembunyikan di bawah timbunan kotak polistren di dalam bot kargo berkenaan.
“Pemeriksaan dokumentasi mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan kawalan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shahrizan berkata, pemeriksaan ke atas sebuah lagi bot kargo yang dikendalikan tekong warga tempatan berusia 49 tahun menemukan muatan barangan runcit serta 22 LPG berisi yang disembunyikan di ruang tertutup di dalam bot kargo berkenaan.
“Pemeriksaan dokumentasi juga mendapati tekong gagal mengemukakan lesen bot serta dokumen berkaitan barangan kawalan yang dibawa.
“Kedua-dua tekong serta bot dan muatan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya.
Menurutnya, semua barangan termasuk dua bot kargo, enjin bot, dan barang kawalan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM80,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.
-Deasoka