Cubaan seludup petrol ke negara jiran gagal

Kudat: Lapan tong drum berisi petrol dipercayai cuba diseludup keluar dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat di tepi sungai Kampung Mapan-Mapan, Pitas, di sini, semalam.

Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, hasil risikan daripada maklumat orang awam mendapati kawasan tepi sungai ini dipercayai dijadikan tempat penyimpanan barang kawalan tanpa permit sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut pasukan serbuan menemui lapan tong drum 200 liter yang berisi beberapa liter petrol.

“Kawasan berkenaan dipercayai tempat transit bagi barang kawalan diturunkan dan disyaki akan diangkut bagi tujuan seludup.

“Siasatan masih diteruskan dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Cyril berkata, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM3,300 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|