Tumpu dalam negeri dulu – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, Kumpulan Sawit Kinabalu menumpukan aktiviti perniagaan syarikat itu kepada pasaran dalam negeri terlebih dahulu.

Beliau berkata, pihaknya belum membuat keputusan untuk melebarkan sayap perniagaan GLC itu di luar Sabah walaupun berjaya mencatat keuntungan yang tinggi pada tahun lalu.

“Setakat ini, kita belum lagi membuat keputusan. Kita tumpukan perhatian di dalam negeri kita sendiri dan saya amat berbangga sekali kerana Sawit Kinabalu telah menunjukkan satu pendapatan kemajuan yang begitu baik.

“Tahun lepas mereka mencatatkan keuntungan lebih daripada RM300 juta. Pada tahun ini InsyaAllah unjuran yang dimaklumkan kepada saya mungkin lebih daripada itu, jadi inilah yang kita harapkan,” katanya ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Sawit Kinabalu di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika kerajaan negeri berhasrat untuk melebarkan sayap GLC itu ke negeri atau negara jiran termasuk Kalimantan.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis yang dihadirinya, Hajiji berharap sambutan itu dapat diteruskan bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim kakitangan Kumpulan Sawit Kinabalu.

“Majlis Rumah Terbuka ini adalah satu amalan yang cukup baik untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim bukan saja antara kakitangan tetapi juga orang ramai yang hadir.

“Kita sudah dua tahun tidak dapat mengadakan majlis seumpama ini jadi ia akan menambahkan kemeriahan sambutan Hari Raya pada tahun ini,” katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|