Mohamaddin sertai PBM

Mohamaddin sertai PBM

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Beliau dalam pengumumannya berkata, penyertaannya itu adalah selepas meneliti perlembagaan PBM yang menjadi teras penubuhannya iaitu memperjuangkan hak dan autonomi wilayah Borneo seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Menerusi perjuangan ini kita dari Sabah memberi kerjasama sepenuhnya kepada PBM dan juga PKR agar dapat kita melaksanakan apa yang sebetulnya yang termaktub dalam MA63.

“Dalam situasi politik tanah air yang tidak pernah berlaku sebelumnya, saya berpendapat bahawa penyatuan kuasa-kuasa rakyat dari kedua-dua wilayah Borneo iaitu Sabah dan Sarawak mesti bekerjasama dengan Semenanjung,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden PBM, Datuk Larry Sng Wei Shien yang juga Ahli Parlimen Julau dan Presiden Parti Kuasa Rakyat (PKR), Kamarazaman Yacob.

Sementara itu, Larry berkata, penyertaan Mohamaddin akan disusuli oleh ahli parlimen lain dalam masa terdekat.

“Kita juga sudah membuat keputusan untuk di Sabah, kita akan memilih Mohamaddin untuk menjadi Ketua PBM di Sabah untuk mengetuai bahagian di sini,” katanya.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Parti Warisan (WARISAN) dan menjadi wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Warisan itu kemudian menyertai Bersatu kira-kira sebulan kemudian.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi mengumumkan keluar daripada BERSATU pada Jun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|