Kakitangan MDB maut dalam kemalangan

Kakitangan MDB maut dalam kemalangan

Beaufort: Seorang kakitangan Majlis Daerah Beaufort (MDB) maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U secara bahaya di Kilometer 12, Jalan Beaufort – Menumbok, Kampung Takuli, di sini, hari ini.

Kejadian jam 10.30 pagi itu menyebabkan penunggang motosikal Safli Sulaiman, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala, kaki dan tangan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Beaufort – Menumbok, Kampung Takuli.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis ES125 dalam perjalanan dari arah Pekan Beaufort menuju pulang ke rumah di Kampung Kukuro, Kota Klias, di sini.

Katanya, ketika di lokasi kejadian sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 40, yang berada di bahu jalan sebelah kiri arah Beaufort ke Menumbok secara tiba-tiba membuat pusingan U.

Keadaan motosikal mangsa dan kereta yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Beaufort – Menumbok, Kampung Takuli.

“Ini menyebabkan motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah Beaufort iaitu arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian tepi sebelah kanan Perodua Myvi berkenaan.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana parah di bahagian kepala, kaki dan tangan manakala pemandu Perodua Myvi cedera ringan di muka dan mata,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu Perodua Myvi yang membuat pusingan U secara berbahaya di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang dikesan dalam kes ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|