Undang-undang anti lompat parti akan dibentang di DUN – Hajiji

Undang-undang anti lompat parti akan dibentang di DUN – Hajiji

Keningau: Kerajaan negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, Kabinet negeri sudah bersetuju untuk membawa perkara itu ke persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru-baru ini.

Katanya, langkah itu sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

“Kita menyokong anti lompat parti dan kita akan bentangkan di DUN tidak lama lagi. Apa yang berlaku dulu itu, dululah, sekarang kita mahukan kestabilan politik di Sabah.

“Kabinet sudah bersetuju untuk membawa pindaan perlembagaan itu pada persidangan khas DUN untuk mewujudkan anti lompat parti supaya kita boleh tidur lena.

“Tidak lagi kena jaga sana sini, lompat sana sini. Apa yang lepas cukuplah, kita mahu kestabilan politik,” katanya pada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau, di sini, hari ini.

Jelajah pertama GRS selepas dilancarkan pada Mei lalu itu turut dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen GRS daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Sabah tidak mahu ketinggalan untuk mewujudkan undang-undang anti lompat partinya sendiri selepas RUU mengenai perkara itu diluluskan Parlimen.

“Tidak payahlah kita lompat-lompat (parti) lagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|