MICA kagum keunikan budaya dan destinasi pelancongan desa di Sabah

MICA kagum keunikan budaya dan destinasi pelancongan desa di Sabah

Kota Kinabalu: Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA) menzahirkan rasa kagum dengan keunikan budaya dan destinasi pelancongan desa di negeri ini yang berpotensi menjadi destinasi percutian pilihan.

Dalam lawatan suai kenal ke Sabah, ahli-ahli MICA berkunjung ke beberapa lokasi tarikan yang popular bagi mengenali produk pelancongan Sabah, termasuk sebuah pelancongan berasaskan komuniti di Kundasang yang mana mereka diberi kesempatan menikmati spa ikan semula jadi dan mempelajari mengenai sistem ‘tagal’.

Joniston berkongsi pandangan dengan Presiden MICA, Datuk Dr Angie Ng dan Preaiden MICA Sabah Chapter, Eddie Chan.

Pengalaman spa ikan turut dikongsikan di beberapa platform media sosial dan menarik minat rakyat Malaysia serta pengikut dari negara China.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, berkata Sabah sentiasa mengetengahkan destinasi luar bandar bagi menawarkan produk pelancongan unik yang tidak didapati di tempat lain.

Joniston Bangkuai melihat risalah mengenai Sabah yang disediakan MICA.

“Sistem ‘tagal’ misalnya adalah konsep menarik yang menggabungkan budaya dan keperluan untuk melindungi alam sekitar. Banyak komuniti luar bandar di Sabah memulakan sistem tagal di kampung masing-masing dan ia menjadi tarikan popular dalam kalangan pengunjung,” katanya pada majlis MICA B2B Networking di sini, hari ini.

Joniston berkata, konsep pelancongan berasaskan komuniti giat diketengahkan di Sabah dan ia disifatkan sebagai permata pelancongan luar bandar dengan kekayaan flora dan fauna, budaya serta penduduknya yang mesra.

Joniston menghadiri program B2B Networking MICA di Kota Kinabalu.

“Justeru itu, saya gembira dengan inisiatif MICA dalam membantu mempromosikan Sabah kepada pasaran China dan juga rakyat Malaysia di Semenanjung kerana pada masa ini, mereka adalah bakal pelancong kita,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman; Presiden MICA, Datuk Dr Angie Ng; Presiden MICA Sabah Chapter, Eddie Chan; Pengerusi Majlis Perniagaan China Malaysia bagi Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Philip Yong; dan Timbalan Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Amirul Rizal.

MICA memilih Sabah sebagai destinasi pertama dalam kempen FOLIDAY mereka untuk pasaran domestik pada tahun 2022 dengan memfokuskan 4F iaitu ‘Family, Friends, Fun dan Freebie’.

Joniston turut memuji usaha MICA yang katanya terdapat keperluan bagi industri pelancongan untuk menghasilkan idea dan perkhidmatan inovatif seperti penjenamaan semula tarikan pelancong untuk menarik minat pengunjung tempatan serta menetapkan harga semula bilik penginapan hotel.

“Industri perlu kreatif dan inovatif untuk mencari cadangan nilai unik yang baharu untuk bertahan dan berkembang maju dalam waktu kegawatan. Pelancongan domestik adalah penggerak utama industri pelancongan sementara menunggu sempadan negara dibuka sepenuhnya,” katanya.

Beliau menegaskan pihak STB melaksanakan pelbagai langkah, termasuk insentif pelancongan dan kempen promosi bagi merancakkan dan menarik pelancong domestik.

Sementara itu, Dr Angie berkata konsep pelancongan berasaskan komuniti agak baharu bagi mereka dan MICA berhasrat untuk memasukkannya dalam pakej destinasi Sabah mereka.

“Kami sangat teruja mempelajari konsep ini pada lawatan kami ke sini. Sememangnya, komuniti luar bandar mempunyai pengetahuan tinggi mengenai alam sekitar dan kami rasa Sabah adalah destinasi terbaik untuk diterokai pada tahun ini bagi mereka di Semenanjung,” katanya.

Tambahnya, MICA menggunakan banyak platform digital sedia ada untuk mempromosikan Sabah dan negeri lain di peringkat domestik dan antarabangsa, dengan matlamat untuk mewujudkan program pertukaran pelancongan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|