RM1 juta naik taraf kemudahan Taman Bukit Tawau

RM1 juta naik taraf kemudahan Taman Bukit Tawau

Tawau: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur pelancongan di Taman Bukit Tawau, di sini, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, berkata projek itu dimulakan pada tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan.

Jafry meninjau kemudahan di Taman Bukit Tawau.

Beliau berkata, pihak Taman-Taman Sabah perlu fokus untuk menyediakan dan menaik taraf perkhidmatan serta kemudahan yang terbaik memandangkan kawasan berkenaan menjadi tumpuan pelancong terutama dari sekitar daerah ini.

“Sehingga kini, dua projek yang dibiayai kerajaan persekutuan sudah dilaksanakan termasuk Projek Laluan Pejalan Kaki ke Air Terjun Taman Bukit Tawau dengan kos RM172,286 dan Pembaikan Viewing Platform Table Waterfall dengan peruntukan sebanyak RM183,386.

Jafry melihat keunikan Batu Bersusun Balung Cocos yang terhasil daripada letusan gunung berapi.

“Kini usaha kementerian selain menaik taraf kemudahan infrastruktur adalah meningkatkan promosi agar mampu menarik kedatangan pelancong kerana Taman Bukit Tawau ini memiliki kelebihan tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan selepas lawatan kerja ke taman berkenaan, semalam.

Sempena lawatan kerja berkenaan, Jafry turut berkesempatan melawat Batu Bersusun Balung Cocos yang berpotensi untuk dimajukan dan dijadikan sebagai salah antara produk pelancongan berasaskan komuniti.

“Keadaan batu-batu itu kelihatan seperti disusun oleh manusia namun sebaliknya pembentukkannya adalah semulajadi disebabkan aliran magma selepas letusan gunung berapi satu masa dahulu yang mempunyai ketinggian 1,182 meter dengan jarak 24 kilometer dari utara Bandar Tawau,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|