Mesyuarat SOM perlu bincang tingkat ekonomi umat Islam serantau – Hajiji

Mesyuarat SOM perlu bincang tingkat ekonomi umat Islam serantau – Hajiji

Kota Kinabalu: Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) pertemuan tahunan tidak rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) perlu dijadikan tempat untuk merangka inisiatif ke arah meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di negara anggota.

Perkara itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam ucapannya ketika meraikan kedatangan delegasi Mesyuarat SOM, MABIMS Ke-46 pada majlis makan malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Hajiji berkata, inisiatif yang lebih berkesan untuk meningkatkan semula ekonomi umat Islam penting dalam usaha memulihkan ekonomi selepas seluruh dunia terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Pembangunan ekonomi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan sesebuah negara. Oleh itu, saya berharap mesyuarat ini akan menjadi tempat untuk berbincang sekali gus mencari inisiatif untuk meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di negara anggota MABIMS.

“Ini kerana Mesyuarat SOM adalah forum yang amat penting untuk membincangkan isu dan cabaran umat Islam dalam kalangan negara anggota MABIMS, termasuk aspek ekonomi,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad; Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.

Hajiji berkata pertemuan SOM, MABIMS juga penting bagi mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin di antara Malaysia dan negara anggota MABIMS sejajar usaha membangunkan umat Islam di rantau nusantara.

“Besarlah harapan saya agar mesyuarat ini bukan saja mengeratkan hubungan sedia ada di antara Malaysia dan negara anggota MABIMS tetapi mampu mengukuhkan lagi kesatuan dan menjadikan umat Islam di negara anggota MABIMS umat yang progresif dan cintakan kedamaian serta keharmonian.

“Saya berharap tahap kerjasama dalam membangun umat Islam di negara anggota MABIMS terus ditingkatkan khususnya dalam aspek daya tahan keagamaan dan mutu kehidupan beragama serta kesejahteraan sosio-ekonomi,” katanya.

Sambil mengucapkan selamat datang kepada Ketua-Ketua SOM dan delegasi masing-masing, Hajiji berharap jalinan ukhuwah atas dasar Islam di antara negara anggota MABIMS terus terjalin erat dan utuh.

Beliau turut berharap delegasi mesyuarat itu akan mengambil peluang melawat tempat menarik dan keindahan laut serta pulau di negeri ini.

“Sabah mempunyai penduduk yang terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik yang berbeza serta berlainan agama.

“Perbezaan ini menjadikan Sabah sebuah negeri yang unik serta istimewa berbanding negeri lain di Malaysia. Keharmonian etnik hidup dalam suasana aman damai dan saling hormat menghormati menjadikan Sabah sering menjadi pilihan utama destinasi pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|