Kes denggi meningkat, 3 kematian setakat 24 September

Kes denggi meningkat, 3 kematian setakat 24 September

Kota Kinabalu: Sebanyak tiga kematian dilaporkan daripada 4,055 kes denggi yang dikesan di seluruh negeri sejak Januari hingga 24 September lalu.

Dalam satu kenyataan, di sini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata jumlah itu meningkat 241 peratus berbanding 1,190 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, bilangan kes sepanjang tempoh itu juga lebih tinggi iaitu peningkatan 16 peratus berbanding 3,495 kes yang dilapor sebelum pandemik COVID-19 pada 2020 (3,495 kes) dan peningkatan 4.3 peratus berbanding 3,887 kes pada 2019.

Katanya, daerah Sandakan menyumbang bilangan kes denggi tertinggi di Sabah dengan 1,052 kes (25.9 peratus), diikuti Kota Kinabalu sebanyak 1,024 kes (25.3 peratus), Tawau sebanyak 342 kes (8.4 peratus), Lahad Datu sebanyak 299 kes (7.4 peratus) dan Putatan sebanyak 296 kes (7.3 peratus).

“Sementara itu, sebanyak 387 kejadian wabak denggi dilaporkan di Sabah antara Januari sehingga 24 September lalu, berbanding 83 wabak yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Daripada 387 wabak denggi yang dilaporkan itu, sebanyak 69 wabak dikenal pasti masih aktif, manakala 318 wabak sudah tamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata JKNS melaksanakan pelbagai aktiviti kawalan dan pencegahan di semua kawasan wabak dan kes jangkitan yang dilaporkan dalam usaha membendung dan memutuskan rantaian jangkitan penyakit itu.

Sebagai contoh, katanya aktiviti kawalan vektor yang membabitkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal (single case) atau wabak.

Pada masa sama, katanya aktiviti pencegahan juga dipertingkatkan di lokaliti keutamaan dan berisiko di seluruh negeri.

Sehingga 24 September lalu, katanya sebanyak 340,130 premis di seluruh negeri ini diperiksa dengan sebanyak 451 kompaun bernilai RM232,000 dikeluarkan terhadap pemilik premis yang dikesan ada pembiakan nyamuk Aedes mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Sementara itu, Dr Rose Nani mengingatkan orang ramai di negeri ini supaya sama-sama mengambil tindakan membendung penyakit demam denggi daripada terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk Sabah.

Beliau menggariskan empat langkah perlu dilaksanakan orang ramai dengan langkah utama melakukan pembersihan kawasan persekitaran dan mencari serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.

Langkah kedua, katanya JKNS menyarankan penggunaan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.

“Ketiga, elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan bahan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah terutama apabila berada di luar rumah,” katanya.

Bagi langkah keempat, beliau mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan jika mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit sendi, sakit kepala, ruam dan sebagainya, khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko wabak denggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|