Lelaki hilang ketika cuba seberang sungai

Lelaki hilang ketika cuba seberang sungai

Tambunan: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika cuba menyeberangi sungai dalam kejadian di Kampung Labou-Labou, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Helry Junior Michel, 29, hilang dipercayai dihanyutkan arus deras.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 6.20 petang.

Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Setakat ini, mangsa masih gagal ditemui dan tiada sebarang petunjuk berjaya dikesan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 2.16 pagi tadi selepas keadaan cuaca yang gelap menyukarkan operasi SAR.

Katanya, operasi akan disambung semula jam 7 pagi, hari ini, dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|