Ebit Lew hadir perbicaraan hari ini

Ebit Lew hadir perbicaraan hari ini

Tenom: Pendakwah terkenal, Ebit Lew tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Tenom, di sini, pada kira-kira jam 9 pagi tadi bagi menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual yang dihadapinya.

Ebit Lew, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim tiba dengan menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser hitam dan diiringi dengan beberapa kenderaan lain.

Ebit Lew tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Tenom di Tenom.

Beliau yang berpakaian serba hitam berhadapan dengan 11 pertuduhan gangguan seksual dan prosiding perbicaraan bermula Selasa hingga Jumaat ini.

Petugas media turut berada di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi tadi bagi mengikuti prosiding berkenaan selain sekumpulan individu dilihat turut mengiringi beliau.

Sementara itu, beberapa anggota polis juga dilihat berada di pekarangan mahkamah bagi mengawal situasi semasa.

Ebit Lew pada 18 Februari lalu hadir di mahkamah sama bagi pendakwaan semua pertuduhan terhadapnya.

Beliau didakwa atas 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Beliau bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan berserta dua penjamin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|