Media Sabah kehilangan insan seni, jurugambar profesional

Media Sabah kehilangan insan seni, jurugambar profesional

Kota Kinabalu: Bekas Jurugambar Eksekutif The News Straits Times Press (NSTP), Datu Ruslan Sulai, 57, meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, petang tadi.

Allahyarham Datu Ruslan yang pernah berkhidmat sebagai jurugambar NSTP dari 1992 hingga 2017 dengan jawatan terakhirnya Jurugambar Eksekutif NSTP Biro Sabah, menghembuskan nafas terakhir di HQE kira-kira jam 4 petang.

Selain seorang jurugambar, Allahyarham juga aktif dalam bidang seni, khususnya deklamasi puisi, sajak, teater dan seni lukis.

Jenazah Allahyarham dimandi dan disolatkan di Masjid Sembulan, di sini, kira-kira jam 7.45 malam ini dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sempelang, Sembulan.

Isterinya, Maslina Abdul Rahman berkata, Allahyarham Datu Ruslan dimasukkan di HQE sejak 1 November lalu.

“Allahyarham dibawa ke HQE selepas sering mengalami sesak nafas dan batuk. Allahyarham kemudian disahkan mengalami kanser paru-paru tahap empat.

“Selepas menjalani rawatan pada 15 November, keesokannya Allahyarham terpaksa ditidurkan selepas menjalani rawatan mengambil sampel.

“Sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas terakhir petang tadi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HQE, di sini, hari ini.

Sepanjang berkhidmat di NSTP Biro Sabah, Allahyarham banyak memenangi anugerah dalam dunia fotografi selain turut memenangi beberapa anugerah dalam deklamasi puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah.

Allahyarham Datu Ruslan meninggalkan seorang balu dan enam anak iaitu Datu Afiq, 29, Datu Afnan, 25, Datu Afdhal, 23, Nur Najihah, 21, Datu Afif, 17, dan Datu Afdhani, 12.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|