Gaduh bersenjata depan kilang

Gaduh bersenjata depan kilang

Kota Kinabalu: Satu klip video kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki menggunakan rantai besi dan parang tular di media sosial, hari ini.

Rakaman video satu minit 30 saat itu memaparkan seorang lelaki menghayunkan rantai besi ke arah seorang lagi lelaki dan mengenai bahagian kepala dan berdarah.

Lalu lelaki itu menuju ke keretanya dan mengeluarkan sebilah parang sebelum ditenangkan oleh lelaki lain yang turut berada di lokasi berkenaan.

Difahamkan, kejadian berlaku di hadapan sebuah kilang di KKIP, Sepanggar pada jam 12.15 tengah hari, 1 Disember lalu ketika mangsa bersama seorang rakannya berusia 52 dan 43 tahun hendak keluar makan dan laluan keluar masuk di pintu pagar kilang dihalang sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

Mangsa kemudian menegur pemandu kereta Perodua Bezza supaya mengalihkan kenderaan tetapi pemandu terbabit enggan sebelum mangsa melemparkan alat pemadam api ke arah kenderaan hingga menyebabkan cermin tingkap bahagian penumpang pecah.

Selepas itu, muncul seorang lelaki yang mangsa kenali iaitu bekas pekerja rakannya itu lalu memukul mangsa kedua kerana dikatakan masih gagal menjelaskan gajinya.

Tiga rakan lelaki itu termasuk seorang bersenjatakan rantai besi dan seorang lagi turut mengeluarkan parang kemudian menyerang kedua-dua mangsa.

Pergaduhan itu kemudian berjaya dileraikan dan akibat serangan itu mangsa pertama cedera di kepala manakala mangsa kedua cedera di telinga kiri dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Tuaran.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan dua suspek berusia 57 dan 53 tahun ditahan hari ini.

“Dua lagi suspek sedang dikesan dan senjata rantai dan kereta Perodua Bezza turut dirampas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|