Jenazah Datu Ruslan selamat disemadikan

Jenazah Datu Ruslan selamat disemadikan

Kota Kinabalu: Jenazah Bekas Jurugambar Eksekutif The New Straits Times Press (NSTP) Biro Sabah, Datu Ruslan Sulai, 57, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sempelang, Kampung Sembulan, di sini, jam 10.30 pagi tadi.

Sebelum itu, kenderaan membawa jenazah Datu Ruslan tiba di perkarangan tanah perkuburan pada kira-kira jam 9.50 pagi dari kediaman keluarganya di Taman Bersatu, Putatan.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri. Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai yang juga bekas Ketua Biro NST Sabah.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah yang juga abang Allahyarham, Datuk Datu Rosmadi Sulai.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kira-kira jam 4 petang semalam, akibat kanser paru-paru tahap empat.

Beliau berkhidmat sebagai jurugambar NSTP dari 1992 hingga 2017 dengan jawatan terakhirnya sebagai Jurugambar Eksekutif NSTP Biro Sabah.

Allahyarham turut aktif dalam bidang seni, khususnya deklamasi puisi, sajak, teater dan seni lukis.

Terdahulu, jenazah allahyarham dimandikan dan disolatkan di Masjid Sembulan kira-kira jam 7.45 malam tadi sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga.

Sepanjang berkhidmat di NSTP Biro Sabah, allahyarham banyak memenangi anugerah dalam dunia fotografi, selain anugerah dalam deklamasi puisi Hari Kebangsaan peringkat negeri.

Sementara itu, isteri allahyarham, Maslina Abdul Rahman berkata, Datu Ruslan dimasukkan di HQE sejak 1 November lalu selepas sering mengalami sesak nafas dan batuk sebelum disahkan mengalami kanser paru-paru tahap empat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak, iaitu Datu Afiq, 29; Datu Afnan, 25; Datu Afdhal, 23; Nur Najihah, 21; Datu Afif, 17, dan Datu Afdhani, 12.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|