Mayat lelaki disambar buaya ditemui dalam keadaan tidak sempurna

Mayat lelaki disambar buaya ditemui dalam keadaan tidak sempurna

Sandakan: Mangsa lelaki yang hilang selepas dilaporkan disambar buaya di Sungai Seguntor dekat Taman Kenari, Batu 7, di sini, ditemui, hari ini.

Difahamkan, mayat yang berada dalam keadaan tidak sempurna itu ditemui pasukan operasi bomba pada jam 8 pagi tadi.

Anggota bomba mengangkat serpihan anggota badan mangsa yang ditemui.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pasukan bomba masuk hari ketiga.

Katanya, sebaik operasi dimulakan pada jam 7.30 pagi, mangsa ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi awal kejadian.

“Mayat mangsa ditemui di kawasan simpang tiga dalam keadaan tidak sempurna.

“Pasukan kemudiannya menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi mencari sebahagian lagi badan mangsa masih diteruskan dan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika cuba menyeberangi sungai menaiki rakit.

Menurut saksi kejadian, mangsa yang baru balik dari Masjid Taman Kenari cuba menyeberangi sungai berkenaan untuk balik ke rumah.

Mangsa dikatakan menggunakan rakit buatan sendiri berukuran empat meter persegi sebelum tiba-tiba disambar buaya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|