Calon disukai rakyat keutamaan BN – Bung Moktar

Calon disukai rakyat keutamaan BN – Bung Moktar

Kota Belud: Barisan Nasional (BN) Sabah akan memilih calon yang disukai rakyat bagi merampas semula kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jentera BN akan memastikan kejayaan calonnya di Kota Belud tanpa mengira siapa yang dicalonkan nanti.

“Kota Belud ini kubu kuat BN dan kita akan kembalikan kedudukan itu, BN akan tanding di Kota Belud. Calon kita akan pilih yang boleh menang dan boleh diterima serta disukai rakyat Kota Belud.

“Apa yang penting jentera BN harus siap sedia, cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri perlu turun kerja untuk pastikan kemenangan calon BN,” katanya pada pelancaran Program Gelombang Biru BN Kota Belud dan Tuaran, di sini, semalam.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membayangkan akan kembali bertanding di Kota Belud bagi meneruskan agenda pembangunan yang dirancangnya ketika menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal sejak 2008.

Ketika ini, kerusi Parlimen Kota Belud disandang Parti Warisan (WARISAN) selepas calonnya, Isnaraissah Munirah Majilis menewaskan calon BN, Datuk Seri Salleh Said Keruak pada PRU 2018.

Abdul Rahman ketika itu dicalonkan di Parlimen Sepanggar, namun turut tewas di tangan pemimpin WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pemimpin dan ahli BN perlu bersatu hati pada PRU-15 bagi memastikan kemenangan calonnya dan mengingatkan supaya tiada lagi pecah belah, sabotaj atau cantas-mencantas yang berlaku sebelum ini apabila tidak dicalonkan.

“Belajarlah daripada kesilapan lalu, BN sudah pernah kalah pada 2018, antara puncanya ialah sabotaj, potong memotong sebab tidak setuju dengan calon yang dipilih parti.

“Kalau ini berlaku lagi jangan harap Kota Belud ada pembangunan. Kita tengok WARISAN, selama ia memerintah sebelum ini apa yang dia buat di sini.

“Justeru itu percayalah jangan lagi kita berbalah, kita kena ada solidariti dalam kepemimpinan. Siapa yang terpilih menjadi calon, maka kita sokonglah beramai-ramai,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|