Ketinggalan jaringan akhirnya bawa padah

Ketinggalan jaringan akhirnya bawa padah

Kota Kinabalu: Situasi ketinggalan jaringan yang dihadapi Sabah FC sejak beberapa perlawanan lalu akhirnya membawa padah apabila gagal menyamakan kedudukan pada minit akhir hingga tewas 3-2 di tangan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Dalam aksi sebelum ini, Sabah FC bernasib baik dapat menyamakan atau mencipta jaringan kemenangan, namun berbeza dengan aksi malam tadi yang menyaksikan pemain Sabah FC gagal mencipta gol penyamaan apabila Selangor mendapat gol ketiga pada minit ke-75.

Embalo mendapat gol pertamanya pada ketika aksi Sabah vs Selangor malam tadi.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang sebelum ini menyatakan kebimbangan dengan situasi itu, berkata faktor keletihan menjadi punca anak buahnya gagal menyamakan kedudukan hingga akhirnya tewas di tangan Selangor.

“Selepas kita ketinggalan dua gol seperti perlawanan lepas, kita harus mengejar untuk mendapatkam gol. Kita memerlukan banyak tenaga di mana mereka cuba untuk menyerang dan bertahan.

“Apabila separuh masa kedua, kita keletihan sedikit. Kita cipta peluang tapi tidak disemprunakan dan kita hilang tumpuan. Kita terpaksa mengejar lagi, namun kali ini kita tidak dapat gol penyamaan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, Sabah mula ketinggalan 1-0 pada minit ke-23 melalui jaringan Mukhairi Ajmal, disusuli gol kedua seminit oleh Brendan Gan, sebelum kapten tuan rumah, Baddrol Bakhtiar kemudiannya merapatkan jurang pada minit ke-29, diikuti gol penyamaan 2-2 oleh pemain import Sabah, Jose Embalo pada minit ke-40.

Kedudukan yang terikat 2-2 itu berubah pada minit ke-75 selepas pemain import Selangor, Hein Htet berjaya merembatkan jaringan ketiga untuk memberi kemenangan kepada pasukan Red Giant itu.

Kim Swee juga mengakui Sabah FC hilang tumpuan di bahagian pertahanan menyebabkan gawangnya mudah dibolosi, selain banyak peluang gagal disempurnakan dengan baik dan akhirnya terpaksa berdepan kekalahan.

Mengenai Embalo, Kim Swee berharap jaringan pertamanya malam tadi dapat memberi keyakinan kepada penyerang baharu Sang Badak itu untuk mengharungi baki empat lagi perlawanan Liga Super.

Embalo sebelum ini dikritik penyokong Sabah kerana aksinya yang kurang menonjol.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|