Matbali hargai sokongan pengundi Sipitang

Matbali hargai sokongan pengundi Sipitang

Sipitang: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada warga Sipitang yang menyokong dan memberi kepercayaan kepadanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata sokongan padu yang mengangkat beliau menjadi Ahli Parlimen Sipitang amat bermakna kepadanya dalam meneruskan agenda pembangunan di daerah ini.

Beliau juga menghargai dokongan kuat jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) serta semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Sipitang yang bertungkus-lumus sepanjang kempen berlangsung.

“Saya ucapkan terima kasih dan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua pengundi Sipitang, juga kepada jentera yang bekerja keras sepanjang kempen berlangsung,” katanya.

Matbali juga menyatakan penghargaan kepada beberapa beberapa Ahli Parlimen Sipitang yang turut bersamanya turun padang sepanjang kempen.

Pada PRU15, Sabtu lalu, Matbali menang dengan majoriti 4,691 undi setelah memperolehi 14,459 undi.

Beliau menewaskan dua pencabar dalam pertembungan tiga penjuru iaitu calon WARISAN, Datuk Adnan OKK Puteh (9,768 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH) Lahirul Latigu (4,834 undi).

Dalam pada itu, Matbali turut menghargai mereka yang menghantar ucapan tahniah dan penghargaan menerusi aplikasi Whatsapp mahupun platform media sosial lain, atas kemenangan yang dicapai.

“Saya mohon maaf jika ada ucapan yang tidak sempat terbalas, namun semuanya saya ambil perhatian dan sanjung tinggi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|