BN Sabah ikut keputusan Pusat – Bung Moktar

BN Sabah ikut keputusan Pusat – Bung Moktar

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) Sabah akur dengan keputusan yang dicapai BN Pusat dalam menentukan gabungan yang bakal mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia dipersetujui semua tujuh Ahli Parlimen BN Sabah yang memperoleh kemenangan pada PRU15.

Menurutnya, ia membabitkan Ahli Parlimen Beaufort, Kimanis, Libaran, Kalabakan, Putatan, Pensiangan dan Kinabatangan.

“BN Sabah ikut keputusan parti. Ini untuk kestabilan negara kita… oleh itu kita kena ikut (akur),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, keputusan yang bakal dicapai itu penting dalam memastikan kestabilan negara.

Sementara itu, mengulas tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga rakan seperjuangannya, beliau berkata, GRS telah melanggar perjanjian dengan BN Sabah.

Justeru, selepas Kerajaan Pusat ditubuhkan, BN Sabah akan mengadakan perbincangan bersama GRS mengenai kedudukan rakan dalam kepimpinan negeri.

“Nampak gayanya GRS sudah melanggar perjanjian kita. Kita akan berbincang nanti dengan GRS (mengenai kerjasama BN di Sabah) selepas kerajaan Pusat ditubuhkan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan menyatakan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Beliau berkata, pendirian itu dicapai susulan pertemuannya dengan Muhyiddin di Kuala Lumpur, semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|