
Tongod: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah memberi jaminan tapak perkampungan Kiandongo yang terletak enam kilometer dari Pekan Tongod tidak akan jatuh ke tangan syarikat luar.
Beliau memberi jaminan itu berikutan kegusaran penduduk yang dibayangi kemungkinan penempatan mereka akan diteroka syarikat swasta yang bercadang meluaskan tanaman ladang kelapa sawit di kampung berkenaan.
“Kita akan pastikan penempatan ini diwartakan sebagai sebuah perkampungan tradisi secara sah,” katanya selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra di Dewan Masyarakat kampung itu semalam.
Kampung Kiandongo yang berkeluasan lebih 242 hektar termasuk tanah dipohon penduduk untuk pertanian masih berstatus sebagai tanah simpan kerajaan dan belum memperoleh geran.
Katanya, apa yang penting ketika ini tapak perkampungan melibatkan rumah penduduk, bangunan kerajaan termasuk sekolah dan rumah ibadat harus diwartakan terlebih dahulu.
“Isu tanah Kampung Kiandongo akan saya bawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) Daerah Tongod sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Sebelum itu, Masiung turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM110,000 untuk pembaikan dewan masyarakat dan tabung untuk sembilan pertubuhan serta persatuan di kampung berkenaan.
-Deasoka