Kota Kinabalu: Polis daerah ini mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian samun yang dilaporkan berlaku di Taman Regent, Luyang, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti pihak yang terbabit.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kejadian dapat dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa.
Kejadian disedari salah seorang penghuni rumah yang kebetulan baru saja pulang ke rumah apabila menemui kelibat seorang lelaki tidak dikenalinya.
Dalam rakaman CCTV berkenaan, suspek cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dengan salah seorang penghuni rumah.
Bagaimanapun, suspek akhirnya berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang turut dipercayai dicuri sebelum ini.
-Deasoka