STAR guna logo GRS tanding PRU-15

STAR guna logo GRS tanding PRU-15

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perkara itu disahkan Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, hari ini.

Beliau berkata, STAR mengambil pendekatan berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding menggunakan logonya sendiri.

“Kami akan gunakan GRS dan mungkin BN akan gunakan (logo) BN,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan forum Sempena Hari Orang Asal Sedunia di Dewan Datuk Guandee, Sokid Villa, di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai kerusi yang disasarkan STAR, Jeffrey bagaimanapun belum mahu mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi partinya.

“Jangan dulu cakap mengenai kerusi. (Sasaran kerusi) itu rahsia sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi GRS dalam pada itu berpendapat jika PRU-15 disegerakan ia akan memberi kelebihan kepada GRS sendiri.

Sementara itu, bercakap mengenai program yang dihadirinya, beliau berharap semua daerah di negeri ini dilengkapi pusat pengumpulan hasil pertanian berasaskan makanan bagi memudahkan Orang Asal memasarkan hasil masing-masing.

“Dari segi ekonomi kita galakkan penyertaan dan peranan Orang Asal dalam perniagaan terutama sekali berasaskan makanan sebab Orang Asal ini kebanyakannya berlatarbelakangkan petani.

“Melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD) di bawah Kementerian Pertanian sudah mula mewujudkan enam pusat pengumpulan setakat ini untuk menjadi satu saluran pemasaran dan pungutan hasil dan seterusnya untuk memproses pengeluaran makanan berasaskan pertanian.

“Jadi harapan kita setiap daerah mempunyai pusat pengumpulannya sendiri bukan di enam daerah saja bagi memudahkan penduduk kampung tanpa bersusah payah pergi ke tamu dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Enam pusat pengumpulan itu dibuka di Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Kundasang, Lahad Datu dan Telupid.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|