Maritim Malaysia tahan kapal tangki beroperasi guna lesen tamat tempoh

Labuan: Sebuah kapal tangki yang berlabuh di kedudukan 14.1 batu nautika barat laut Pulau Labuan, di sini, ditahan selepas didapati mempunyai Lesen Perkapalan Domestik (DSL) tamat tempoh serta dokumen mencurigakan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, kapal tangki berkenaan dikesan Kapal Maritim BISTARI yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng dan Op Sejahtera dalam kawasan perairan tanggungjawab.

Kapal berkenaan ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika berlabuh di kedudukan 14.1 batu nautika di perairan Labuan.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, kapal tangki berkenaan dikendalikan oleh warga Indonesia dan India.

“Pasukan operasi mendapati kapal berkenaan dikendalikan lima kru warga asing dari Indonesia dan India berusia lingkungan 25 tahun hingga 42 tahun.

“Dua daripada kru terbabit turut didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang tidak lengkap,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nudin berkata, selain itu, pasukan operasi turut mendapati kapal berkenaan beroperasi dengan Lesen Perkapalan Domestik (DSL) tamat tempoh.

Katanya, kapal berkenaan bersama kru terus ditahan dan di dibawa ke Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952),” katanya.

Sehubungan itu, Nudin berkata, syarikat perkapalan serta komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa menghormati serta mematuhi undang-undang termaktub.

Katanya, ia bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku dalam perairan negara.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim dan Carilamat di laut juga boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian
kecemasan MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|