UPPM Sindumin turun padang tinjau situasi banjir

Sipitang: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sindumin turut memantau situasi banjir yang menjejaskan penduduk beberapa kawasan di daerah ini, semalam.

Ketuanya, Sani Miasin, turun padang di lokasi terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk yang menjadi mangsa kejadian banjir berkenaan.

Antara situasi banjir yang menjejaskan penduduk beberapa kampung di DUN Sindumin, Sipitang.

“Selepas menghadiri jemputan perasmian Bangunan Baru Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS), saya bergegas meninjau sendiri keadaan banjir sekitar kampung di kawasan N35 Sindumin, Sipitang,” katanya.

Semalam, sebanyak tujuh keluarga membabitkan 19 orang dari empat kampung di daerah ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan banjir yang melanda kawasan terbabit, sejak malam kelmarin.

Semua mereka dipindahkan ke PPS Dewan Mesapol oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bermula jam 9.50 malam hingga 6 pagi.

Antara kampung yang terjejas akibat banjir ialah Kampung Kaban, Kampung Pantai, Tanjung Nipis, dan Kampung Ranau-Ranau.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi memindahkan penduduk yang terjejas banjir selepas menerima panggilan pada jam 9.50 malam tadi di Kampung Kaban.

Katanya, sepasukan bomba BBP Sipitang dikerah ke lokasi bagi melakukan operasi memindahkan membabitkan dua mangsa ke PPS Dewan Mesapol.

Operasi memindahkan penduduk kampung yang terjejas banjir turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|