Maritim Malaysia gagalkan aktiviti bom ikan

Maritim Malaysia gagalkan aktiviti bom ikan

Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengagalkan aktiviti bom ikan selepas menahan sebuah bot pam di kedudukan 0.10 batu nautika selatan Pulau Gaya, di sini, malam tadi.

Bot pam berwarna jingga yang dinaiki dua lelaki itu dikesan mencurigakan dalam siri rondaan rutin yang dijalankan bot peronda Maritim Malaysia.

Ikan yang ditangkap menggunakan kaedah bom ikan.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot terbabit disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan di sekitar perairan selatan Pulau Gaya.

Bagaimanapun katanya, sebaik cuba dihampiri, bot pam berkenaan terus memecut laju ke arah pantai berhampiran.

Peralatan yang digunakan suspek menangkap ikan menggunakan kaedah bahan letupan.

“Setibanya di kawasan perairan cetek, pasukan operasi melihat kedua-dua lelaki terbabit bertindak terjun ke laut meninggalkan bot mereka.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan kemudiannya membawa kepada penemuan peralatan menyelam tradisional serta bom ikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Bot dinaiki suspek dirampas untuk siasatan lanjut.

Mohd Rosli berkata, bot pam berkenaan terus dirampas dan dibawa masuk ke Jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan selanjutnya.

“Antara rampasan adalah sebuah bot kayu, enjin bot jenama Suzuki, sebuah kompressor, satu gulung hos menyelam dan sebotol bom ikan.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya,” katanya.

Mohd Rosli berkata, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 25 (a) iaitu tidak melebihi RM6 juta bagi pemilik kapal dan RM600,000 bagi setiap kru kapal membabitkan rakyat asing.

Katanya, manakala bagi rakyat tempatan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 25 (b) iaitu tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, komuniti maritim diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti bom ikan ini kerana aktiviti ini bukan saja salah disisi undang-undang laut negara malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut.

Katanya, ia juga boleh membahayakan nyawa si pelaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.

“Segala aduan atau laporan mengenai salah laku jenayah laut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia melalui talian telefon ke Bilik Operasi Maritim Negeri Sabah dan W P Labuan ditalian 088-387774,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|