Putatan: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap seekor ular sawa batik seberat 30 kilogram yang ditemui kekenyangan di dalam sebuah reban ayam di Kampung Sekambu, Petagas, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, pihak APM menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan reptilia sepanjang lima meter berkenaan yang berada dalam keadaan kekenyangan selepas membaham seekor ayam di dalam reban berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Kota Kinabalu, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, seramai lima anggota terbabit dalam operasi mengeluarkan ular berkenaan yang mengambil masa kira-kira setengah jam.
“Walaupun reptilian itu tidak agresif ketika ditangkap kerana dalam keadaan kekenyangan, namun anggota berdepan kesukaran untuk mengeluarkannya berikutan saiz yang besar dan panjang.

“Namun pengalaman dan kecekapan anggota APM berjaya menangkap dan mengeluarkan ular berkenaan tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Hazle berkata, ular sawa batik yang ditangkap itu berukuran panjang lima meter dan berat kira-kira 30 kilogram.
“Ular sawa berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut.
“Operasi kemudian ditamatkan jam 10.48 pagi tadi,” katanya.
-Deasoka