Empat pemancing diselamatkan

Empat pemancing diselamatkan

Kota Kinabalu: Empat pemancing yang terkandas di perairan Pulau Manukan, di sini, selepas bot dinaiki terbalik berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, keempat-empat mangsa berusia 22 dan 23 tahun itu dilaporkan terkandas apabila bot dinaiki mengalami kebocoran selepas terlanggar batu di laut.

Pasukan Maritim Malaysia menyelamatkan empat pemancing selepas bot dinaiki terbalik di perairan Pulau Manukan, Kota Kinabalu.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan daripada salah seorang mangsa pada jam 11.20 pagi.

Katanya, mangsa memaklumkan bot dinaiki bersama tiga lagi rakannya terbalik di posisi 0.03 batu nautika barat Pulau Manukan.

Empat pemancing diselamatkan selepas bot dinaiki mereka terbalik Pulau Manukan, Kota Kinabalu.

“Bertindak atas maklumat itu, bot peronda Penggalang 21 dari Maritim Malaysia terus diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi, semua mangsa yamg mengalami kecederaan ringan sedang berpaut pada batu di pesisir pantai pulau berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, semua mangsa seterusnya diselamatkan dan dibawa ke jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu untuk bantuan rawatan.

Sehubungan itu, Mohd Rosli menasihatkan komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut.

Katanya, ia termasuk peka terhadap keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan, memastikan keadaan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB).

“Komuniti maritim disarankan supaya maklumkan kepada keluarga atau sahabat yang lain lokasi dan tujuan berada dilaut.

“Maritim Malaysia juga memohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku di perairan negeri ini.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian Pusat Operasi MN Sabah 088-387774 atau 999 (MERS),”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|