Mangsa serangan hidupan liar boleh tuntut pampasan

Mangsa serangan hidupan liar boleh tuntut pampasan

Kota Kinabalu: Waris mangsa serangan hidupan liar boleh memohon pampasan sehingga RM20,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) persekutuan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin, berkata nilai pampasan itu bagi kes yang membabitkan kematian, manakala kes membabitkan kecederaan bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami.

Bagaimanapun, katanya tuntutan pampasan itu hanya untuk warga negara Malaysia.

“Untuk makluman semua, kes kematian yang diakibatkan oleh serangan hidupan liar boleh memohon pampasan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Persekutuan.

“Nilai pampasan adalah RM20,000 dan Jabatan Hidupan Liar Sabah akan membuat pengesahan.

“Bagi kecederaan lain, nilai pampasan bergantung kepada kehilangan anggota akibat serangan. Syaratnya, orang yang membuat tuntutan pampasan adalah warga negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kes serangan buaya terbaharu di Lahad Datu yang membabitkan seorang kanak-kanak dan ayahnya.

Dalam kejadian berhampiran pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu pada 1 Disember lalu, kanak-kanak lelaki terbabit hilang dipercayai dibaham buaya, manakala ayahnya cedera parah.

Sementara itu, Jafry berkata susulan kes itu, kementeriannya menerusi Jabatan Hidupan Liar Sabah membuat pemburuan buaya di sekitar kawasan serangan buaya.

“Sekiranya kawasan perkampungan di mana penduduk kampung sentiasa menggunakan sungai dalam aktiviti harian maka buaya yang dilihat satu kilometer di hulu dan satu kilometer daripada sempadan kampung akan diburu.

“Untuk menjamin keselamatan sepenuhnya mungkin sukar berikutan aktiviti manusia juga mungkin memasuki kawasan buaya yang dahulunya diketahui tiada buaya.

“Semua buaya yang dilihat berada di kawasan ada aktiviti manusia akan cuba ditangkap atau ditembak mati,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|