Papar: Siri pencerobohan di perairan Sabah dan Sarawak oleh pihak berkuasa dan ketenteraan China kebelakangan ini membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati, kata Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan.
Katanya, Malaysia perlu mengukuhkan aspek keselamatan di perairan sempadan Sabah dan Sarawak melibatkan pertahanan ketenteraan strategik bagi memastikan negara ini mampu bertahan jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.
“Keselamatan kita di Laut China Selatan melibatkan perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi sesuka hati oleh China walaupun pelbagai usaha telah diambil Malaysia sama ada melalui rundingan mahu pun diplomatik.
“Namun, saya lihat usaha ini tidak cukup kerana masih tidak diendahkan China. Kita harus lebih tegas dalam isu ini kerana ia melibatkan kedaulatan serta keselamatan rakyat khususnya di kedua-dua wilayah ini (Sabah dan Sarawak).
“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil tindakan segera dengan mengukuhkan aspek ketenteraan di sempadan perairan kita sebelum Laut China Selatan menjadi medan perang dunia ketiga,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (Warisan) Sabah berkata, China tanpa segan silu mengukuhkan kehadiran di Laut China Selatan dengan mendirikan kemudahan ketenteraan di atas pulau-pulau yang masih dalam pertikaian.
Malah katanya, China juga baru-baru ini meningkatkan belanjawan ketenteraan mereka untuk kawasan itu yang sekali gus menimbulkan ketegangan di rantau Asean.
Menurutnya, Filipina baru-baru ini buat pertama kalinya telah diberikan amaran langsung oleh kerajaan China apabila mereka menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai provokasi ketenteraan walaupun di dalam kawasan perairan mereka sendiri.
“Lihat apa berlaku di Taiwan ketika ini apabila tentera China melakukan latihan secara besar-besaran di sekitar perairan Taiwan sebagai bantahan susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu, baru-baru ini.
“Jika berlaku konflik di Laut China Selatan, Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan sekiranya Malaysia terus lemah dan tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan kita,” tegasnya.
Ahmad yang juga Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen Negara (PAC) berkata, sebahagian negara lain sudah mula mengukuhkan aspek ketenteraan termasuk keselamatan di perairan sempadan masing-masing.
Beliau berkata, sewajarnya Malaysia juga melakukan tindakan sama dengan mempertingkatkan dan menaiktaraf aset ketenteraan khususnya aset Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM).
Bagaimanapun katanya, perkara sebaliknya berlaku apabila rakyat, baru-baru ini dikejutkan dengan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) sebanyak enam buah bernilai RM9 bilion namun tiada kapal tempur diterima setakat ini.
“Ini menunjukkan negara kita lemah akibat pelbagai kontroversi dan paling menyedihkan skandal melibatkan aset ketenteraan kita (LCS) yang amat penting dan diperlukan bagi menjaga keselamatan perairan kita.
“Jika Malaysia terus kelihatan lemah dalam menjaga kedaulatan di sempadan perairan kita, kita bakal berhadapan banyak kerugian khususnya urus niaga serta kepentingan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) antaranya sektor perikanan.
“Sabah dan Sarawak dilihat sebagai pihak paling rugi dalam masalah ini seterusnya berterusan menjadi wilayah yang ketinggalan khususnya Sabah dalam serba serbi pembangunan ekonomi,” katanya.
-Deasoka