Bukan kes culik pelajar

Bukan kes culik pelajar

Kota Marudu: Polis daerah ini mengesahkan kenyataan rakaman tular yang memaparkan seorang lelaki ditahan polis sebagai terbabit dalam cubaan menculik pelajar sekolah adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, dalam rakaman berkenaan, suspek ditahan polis kerana menceroboh perkarangan sebuah rumah di Kampung Marak Parak, di sini, pada 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal

Katanya, kes berkenaan masih dalam siasatan dan suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya menghentikan penyebaran mesej dan video berkenaan.

“Ia adalah berita tidak benar dan dibimbangi boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan tular di aplikasi WhatsApp sebelum ini mendakwa, lelaki terbabit ditahan kerana mahu menculik pelajar sekolah di sekitar daerah Kota Marudu dan Pitas.

Kenyataan itu turut ditularkan bersama satu rakaman berdurasi 23 saat yang dikatakan merujuk kepada penahanan penculik terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|