Dua perlawanan persahabatan sebelum kejohanan sebenar

Dua perlawanan persahabatan sebelum kejohanan sebenar

Kota Kinabalu: Skuad bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah akan mengadakan dua perlawanan persahabatan di ibu negara sebagai persediaan bagi menghadapi kejohanan sebenar, 12 September depan.

Skuad membabitkan 23 pemain dan tujuh pegawai itu dijangka akan berlepas ke Kuala Lumpur lebih awal iaitu pada 1 September ini untuk tujuan berkenaan.

Majlis penyerahan peralatan kelengkapan sukan kepada pemain dan pegawai pasukan SUKMA Sabah di pejabat SAFA.

Jurulatih pasukan, Adzrien Harun berkata, perlawanan persahabatan itu adalah persiapan terakhir pasukan Sabah sebelum kejohanan SUKMA bermula.

Katanya, ia bagi memastikan mereka lebih bersedia untuk menggalas cabaran saingan dalam acara bola sepak di kejohanan SUKMA nanti.

“Pasukan Sabah hanya mempunyai masa tiga minggu menjalani latihan termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sini sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.

“Rata-rata pemain SUKMA Sabah baru saja selesai menghadapi perlawanan dalam Liga Piala Presiden dan selepas itu mereka meneruskan latihan untuk persiapan menghadapi SUKMA kali yang ke-20 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan peralatan kelengkapan sukan kepada pemain dan pegawai pasukan di pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di sini, hari ini.

Acara penyerahan dilakukan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom yang juga ketua kontinjen bola sepak Sabah.

Adzrien berkata, pihaknya bagaimanapun sedang mengenal pasti pasukan yang bakal dihadapi dalam perlawanan persahabatan berkenaan.

Katanya, perlawanan persahabatan itu penting bagi pasukannya sebagai persediaan terakhir sebelum menghadapi kejohanan sebenar.

“Pengundian bagi menentukan kumpulan pasukan akan diputuskan pada 20 Ogos ini.

“Lima venue yang akan digunakan untuk acara bola sepak ialah Stadium UiTM Shah Alam, Stadium Arena Universiti Malaya, Stadium KLFA dan Stadium Uniten Bangi,” katanya.

Sebelum ini, Pengurus pasukan bola sepak SUKMA Sabah, Mohd Khairul Nizam Moktar meletakkan sasaran pingat emas dalam acara bola sepak pada SUKMA kali ini.

Berdasarkan rekod SUKMA sebelum ini, Sabah berjaya mengutip pingat gangsa pada dua kejohanan iaitu di Sarawak dan Perak pada 2016 serta 2018.

Kali terakhir pasukan Sabah memenangi pingat emas adalah pada 2012 ketika penganjuran SUKMA di Pahang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|