Majlis Khas MA63 bincang pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak

Majlis Khas MA63 bincang pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak

Kota Kinabalu: Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) hari ini membincang dan mengesahkan tuntutan bagi mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata perkara itu adalah antara isu utama dalam mesyuarat kelima MKMA63 di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Maximus berkata perkara itu memerlukan lebih banyak perbincangan khususnya membabitkan pengamal dan penggubal undang-undang di kedua-dua negeri.

Katanya, penggubal undang-undang dari Sabah dan Sarawak meminta agar kajian semula dilaksanakan terhadap jumlah kerusi Parlimen di dua negeri Borneo itu.

“Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi Parlimen, diikuti Sarawak (24) dan Singapura (15), jumlahnya mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi Parlimen adalah di Malaya (Semenanjung).

“Malaya ketika itu tidak memiliki majoriti dua pertiga. Jadi, apabila Singapura keluar Malaysia pada 1965, kerusi miliknya sepatutnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan kedudukan 35 peratus itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, cadangan untuk mengembalikan kedudukan kerusi Parlimen itu juga sudah disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2012.

Katanya, tugasan akhir ketika ini ialah untuk meyakinkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun isu itu perlu ditekankan kerana ia adalah satu lagi pengembalian hak yang selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Berdasarkan perkiraan semasa, daripada 222 kerusi Parlimen ketika ini, 166 kerusi atau 75 peratus adalah di Semenanjung manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi di negeri Borneo dengan masing-masing 25 kerusi di Sabah dan 31 kerusi di Sarawak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|