Tawau: Kerajaan komited terhadap usaha menumpukan operasi keselamatan di Sabah sejajar kesungguhan dalam menjaga kedaulatan negara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata jawatankuasa komunikasi strategik yang dipengerusikannya berpandangan keselamatan di perairan Sabah perlu diberi perhatian sewajarnya.
Beliau berkata, keselamatan di negeri ini khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) perlu ditingkatkan sejajar dengan usaha kerajaan.
“Kita ingin memastikan rakyat Sabah dapat melihat dengan lebih dekat dan mengetahui kesungguhan kerajaan dalam menjaga kedaulatan negara.
“Perkara ini telah dibincangkan berkali-kali dalam mesyuarat keselamatan dan sebagainya, malah ia juga atas arahan Perdana Menteri sendiri,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Zon 5 dan 6 Sabah, di sini, hari ini.
Katanya, berdasarkan pengalaman sebelum ini dan pelbagai berita yang tersebar menimbulkan keresahan rakyat untuk melakukan aktiviti harian.
Berikutan itu, katanya beliau akan berjumpa dengan penduduk kampung di Pulau Bum Bum, Semporna dan akan bercakap mengenai soal keselamatan di kawasan mereka.
“Saya suka dapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai apa yang mereka lalui sama ada dari segi kos sara hidup, jaringan komunikasi dan sebagainya,” katanya.
Mengenai majlis itu, Annuar berkata, kerajaan sedang dalam proses mentransformasikan Pusat Internet Komuniti di seluruh negara dengan memberikan nafas baharu dan melancarkan PEDi.
“PEDi bermatlamat meningkatkan tahap sosio ekonomi komuniti setempat dan memberi pendedahan kemahiran digital kepada semua penduduk.
“Usaha ini membabitkan pembangunan kemahiran masyarakat setempat mengenai penggunaan internet serta mempelopori peluang perniagaan melalui platform e-dagang tanpa mengira peringkat umur,” katanya.
Setakat ini, katanya sebanyak 911 pusat PEDi beroperasi di seluruh negara dan akan ditambah 173 lagi menjelang akhir tahun depan.
Di Sabah, katanya sebanyak 118 PEDi sudah diwujudkan dengan dilengkapi 1,770 unit Peranti Komuniti bagi memudahkan masyarakat setempat menjalankan aktiviti ekonomi digital.
Bagi fasa kedua, katanya sebanyak 65 PEDi lagi akan menerima 975 unit Peranti Komuniti, manakala selebihnya diterima pada fasa berikutnya.
-Deasoka